Nor Azura Abdul Jalil dan Asrizal Aris


REPRESENTASI lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 22 Mei lalu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail pada sebutan kes di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Lima penuntut yang menghantar representasi itu ialah Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Muhammad Akmal Akif Alias, dan Muhamad Ashraf Abdullah masing-masing berusia 21 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan keseluruhan termasuk laporan perubatan mangsa.

Selain lima penuntut terbabit, lapan yang lain turut didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain,Luqman Hakim Shamsuri, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa, semuanya berusia 21 tahun.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Semua 13 tertuduh itu dibebaskan dengan jaminan RM7,000 oleh mahkamah.

Datuk Sri M Ramachelvam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazizah Kassim, Ariff Amirul Abdul Jani, A G Kalidas, Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay bertindak sebagai peguam bela semua tertuduh.

Sementara itu, 14 Jun lalu, enam penuntut UPNM yang lain dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat dan membunuh Zulfarhan.

Lima daripadanya Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berusia 21 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Zulfarhan.

Kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, dengan tujuan memeras daripada mangsa bagi maksud mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di sini, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Sementara seorang lagi tertuduh, Abdoul Hakeem Mohd Ali, 21, pula didakwa bersubahat dengan kelima-lima tertuduh untuk melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 22 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

 

 

tamat

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 9:37 PM
Sebahagian daripada penuntut UPNM yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Zulfarhan selepas sebutan semula kes di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL