Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

TENTERA Darat Malaysia menjadi pasukan keselamatan pertama di Asia menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM) untuk latihan peperangan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, teknologi itu membolehkan anggota tentera darat menjalani latihan pertempuran seperti dalam situasi pertempuran sebenar.

Menurutnya, VIRTSIM membolehkan anggota tentera berlatih dalam semua keadaan iklim, bentuk muka bumi dan kekangan logistik, sekali gus mengasah kemahiran taktikal ketenteraan serta meningkatkan kesesuaian terhadap suasana pertempuran.

"Semua latihan ini dijalankan di arena realiti maya bersaiz gelanggang bola keranjang di Pusat Simulasi Visual, Pusat Olah Perang Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

"Anggota memakai sistem pengesahan khas (tracking system) dan Head Mointed Display (HMD) supaya mereka boleh berada dalam persekitaran latihan realiti maya simulasi tiga dimensi.

"Antara kelebihan VIRTISM ialah boleh membuat senario pertempuran tanpa had dan latihan yang selamat dengan mengurangkan kecederaan kepada anggota," katanya pada sidang media selepas merasmikan VIRTISM di Pusat Simulasi Visual, Pusat Olah Perang Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Zulkiple berkata, biarpun ada teknologi VIRTSIM, latihan secara realiti tetap diadakan bagi mendedahkan anggota dengan keadaan sebenar di medan tempur.

Katanya, teknologi yang baru dua bulan diperkenalkan itu sangat bersesuaian dengan anggota yang bakal menyertai misi pengaman bangsa-bangsa bersatu dan bertugas di luar negara kerana mereka boleh berlatih mengikut kesesuaian lokasi dan situasi negara terbabit.

Sistem itu turut digunakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 10:09 PM
Zulkiple mencuba senjata digunakan untuk Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM). FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Zulkiple mencuba senjata digunakan untuk Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM). FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM) untuk latihan peperangan yang digunakan Tentera Darat Malaysia. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Simulator Arena Realiti Maya 3D (Sistem VIRTSIM) untuk latihan peperangan yang digunakan Tentera Darat Malaysia. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail