Syed Ahmad Nashrul dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menolong menyembunyikan harta curi. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


AKIBAT membenarkan akaun banknya digunakan untuk penipuan iklan pinjaman wang di Facebook (FB), seorang pemandu peribadi didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Hukuman itu dikenakan Majistret Nurulfitriza Abd Latif selepas tertuduh, Syed Ahmad Nashrul Sayed Othman, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menolong menyembunyikan harta curi iaitu wang tunai RM500 di sebuah rumah di Jalan TS2/1D, Taman Semarak, Nilai, pada 9 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa menghubungi seorang lelaki dikenali Martin untuk bertanya mengenai pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 selepas melihat iklan di FB.

Mangsa kemudian memasukkan wang RM500 ke dalam akaun bank atas nama tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam R Kanapathy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 4:19 PM