Salah sebuah rumah yang ditenggelami air. FOTO Ihsan APM
Norasikin Daineh


MANGSA banjir di Papar terus meningkat kepada 119 penduduk setakat jam 8 pagi hari ini.

Semua mangsa membabitkan 45 keluarga dari tiga kampung di daerah itu dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Penampang Baru, Kimanis.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al Hamdi Ladin berkata, pemindahan itu dilakukan sejak semalam selepas paras air Sungai Kimanis meningkat.

"Pemindahan mangsa membabitkan 87 penduduk dari Kampung Baru Kimanis, lima penduduk dari Kampung Lingan Baru dan 27 penduduk dari Kampung Mendugi.

"Tiga lagi kampung turut dinaiki air termasuk Kampung Belatik, Kampung Daingin dan Kampung Batu 14 Ulu Kimanis namun tidak membabitkan pemindahan penduduk setakat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muliadi berkata, keadaan cuaca ketika ini tidak hujan dan paras air sungai menurun sedikit.

"Bagaimanapun, pemantauan terus dibuat dari semasa ke semasa di kawasan terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 10:51 AM