Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI ditahan bersama enam paket daun ganja, 55 rokok berisi daun ganja serta 29 pil ekstasi yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM9,520 dalam serbuan di sebuah rumah di Lebuh Sekama, Kuching, tengah hari ini.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak kira-kira 12.30 tengah hari.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut menemui dadah berkenaan disimpan suspek di dalam sebuah almari kayu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek yang juga penganggur sudah menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kuching sejak setahun lalu.

"Suspek juga mendakwa dia terpaksa menjadi pengedar dadah kerana mahu menampung kos perubatannya yang mengalami penyakit buah pinggang.

"Bekalan dadah berkenaan diperoleh suspek daripada seorang pengedar lain selepas membuat pembayaran menerusi transaksi bank sebelum diserahkan di lokasi tertentu," katanya hari ini.

Sahar berkata, suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, polis kini akan mendapatkan laporan perubatan suspek berhubung penyakit yang dihadapinya dan kini usaha mengesan suspek lain yang terbabit dalam kegiatan itu giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:31 PM