API marak membakar  rumah mangsa di Kampung Tehel, Jasin, semalam.
API marak membakar rumah mangsa di Kampung Tehel, Jasin, semalam.
HM Digital

Jasin: “Mujur saya cepat sedar, kalau tidak tak tahu apa menimpa Mak Uda (ibu saudara). Ketika itu dia berdiri di tepi pondok satu meter dari rumah sambil memandang ke arah api.

“Saya segera memeluk Mak Uda lalu mendukungnya ke halaman rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan lain kerana api merebak dengan pantas,” kata Nazarul Ashraf Rahman, 25, yang menyelamatkan ibu saudaranya dalam kebakaran di Kampung Tehel di sini, jam 1.50 tengah hari, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, warga emas terbabit, Azimah Jaamat, 69, yang mengalami masalah pergerakan dan ingatan berseorangan di rumah berikutan anak lelakinya yang bekerja sebagai tukang rumah keluar bekerja.

Nazarul Ashraf berkata, kebakaran memusnahkan 90 peratus rumah pusaka itu selain dua motosikal dan sebuah kereta diparkir berhampiran turut rosak akibat bahang.

Menurut Nazarul Ashraf, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan bapa saudaranya, Nazi Md Dali, 40, yang baru pulang daripada menunaikan solat di masjid berhampiran supaya menyelamatkan Azimah yang ketika itu dikhuatiri masih berada di dalam rumah.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, pasukannya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kebakaran, jam 1.56 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:19 AM