Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Zulfa Mohamad


DUA remaja maut selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama empat orang lagi terbabas dan merempuh pokok di Jalan Penaga Dua, Kepala Batas, 3.30 pagi ini.

Mangsa yang maut adalah Nuur Alihadi Syuhibbulaswa, 19, dan Mimi Abdullah,15.

Kereta berkenaan dinaiki lima lelaki termasuk pemandu dan seorang perempuan dipercayai dalam perjalanan dari arah Penaga menghala Teluk Air Tawar.

Sebaik tiba di tempat kejadian kereta berkenaan terbabas lalu merempuh pokok di kiri jalan menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit.

Jurucakap bomba berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda diketuai Penguasa Bomba Kanan II Rejab Ahmad bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 3.40 pagi.

Katanya, anggota bomba menggunakan alat khas bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang meninggal dunia ialah lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 15 tahun.

"Empat penumpang lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 9:05 AM