Tunku Sallehuddin menyampaikan cenderahati kepada bakal haji sambil disaksikan oleh Ahmad Bashah (dua dari kanan) dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan). FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


JEMAAH haji dinasihatkan supaya sentiasa menjaga nama baik Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu jemaah haji Malaysia terutama dari Kedah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya hubungan baik antara Malaysia dengan negara itu sentiasa terjaga.

"Umat Islam dari seluruh dunia akan berkumpul untuk menyerahkan diri kepada Yang Maha Esa dan ini mengajar umat Islam untuk bertoleransi serta berkasih sayang tanpa mengira warna kulit, adat dan budaya.

"Malah, semua bakal jemaah perlu mengambil iktibar haji dengan bersatu hati tanpa melihat perbezaan dan mengelakkan perbalahan demi kesejahteraan ummah.

"Oleh hal demikian, peliharalah kelakuan kerana selama ini, jemaah Malaysia dipuji kerana baik dan berdisiplin. Bakal haji dari Kedah juga sentiasa patuhi arahan dan jangan libatkan diri dengan kegiatan haram yang boleh menjejas nama baik sendiri dan negara," titah baginda.

Teks ucapan baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah padamajlis mengucapkan selamat jalan kepada seramai 287 jemaah haji Kedah ke Tanah Suci Musim Haji 1438H/2017M, di Alor Setar semalam.

Tambah baginda, bakal jemaah haji dinasihatkan supaya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

"Jemaah haji memerlukan pengorbanan tinggi dari segi mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan dan kebersihan diri serta sekeliling yang baik.

"Beta difahamkan cuaca kali ini sedikit panas maka jika tidak rasa sihat, segeralah mendapatkan rawatan di klinik yang disediakan. Janganlah terlalu tumpu kepada ibadat tanpa mempedulikan kesihatan diri.

"Bakal jemaah juga perlu elakkan melakukan pembaziran masa dengan perkara tidak berfaedah kerana ia boleh mengganggu usaha mengejar haji mabrur. Penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat, zikir, membaca al-Quran dan solat," titah baginda.

Turut hadir Raja Puan Muda Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:49 AM