Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


SELEPAS tiga hari menjadi buruan, lelaki Korea Selatan yang membunuh pelancong wanita warga China ditahan ketika bersembunyi di flat di Bukit Tinggi, Bentong, 2.45 petang hari ini.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

"Polis turut merampas sebuah Perodua Myvi dan telefon bimbit kepunyaan mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek ditahan reman di Lokap Balai Polis Bentong untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat pelancong China kelahiran Korea Selatan itu , Xiang Lian Jin, 92, ditemui dalam keadaan berbungkus dengan cadar dan tangan diikat jam 8.40 pagi, kelmarin.

Mangsa bersama pembantu rumah warga Malaysia dipercayai didatangi suspek bersenjatakan pisau yang difahamkan tidak berpuas hati dengan anak pertama mangsa jam 3.30 petang Isnin lalu.

Suspek mengikat dan memukul mangsa sebelum menariknya ke tandas dan sekali lagi dia dipukul.

Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek berdendam dengan anak sulung mangsa mengenai urusan pinjaman wang di Genting Highlands, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:08 AM