Siti Nor Salawati menunjukkan barang kes pecah rumah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


DUA beradik yang aktif melakukan pecah rumah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Balik Pulau, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, dua beradik terbabit ditahan 3.30 petang selepas polis melakukan risikan dan hasil maklumat awam.

Menurutnya, dengan penahanan dua beradik berusia 18 dan 25 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah membabitkan kerugian RM50,000.

"Hasil siasatan mendapati si adik menjadi perancang utama dan mereka didapati aktif melakukan pecah rumah sejak April lalu.

"Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas barang kes iaitu pelbagai telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, peralatan muzik serta elektrik dan peralatan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 6:38 PM