WAN Ahmad Najmuddin Mohd. FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor menafikan Pusat Kawalan Kontinjen Johor ada menghubungi mana-mana pihak yang meminta membuat laporan polis dalam talian untuk memperdayakan mangsa membuat pemindahan wang.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam melalui talian 07-2254422 serta beberapa aduan mengenai penyahalgunaan nombor telefon polis Kontinjen Johor, hari ini.

Beliau berkata, penyalahgunaan talian itu dipercayai dilakukan oleh sindiket penipuan.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan meminta mangsa membuat laporan polis melalui dalam talian dengan kesalahan hutang bank atau kad kredit.

"Ini bagi memperdaya mangsa yang seterusnya akan mendorong mangsa membuat pemindahan atau deposit wang ke akaun yang diberikan suspek," katanya.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, pihaknya menafikan ada membuat panggilan seumpama ini dan ia adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu memperdayakan mangsa semata-mata.

Katanya, polis Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit atau bersubahat dengan mana-mana sindiket penipuan jenayah serta akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.

"Kita juga memandang serius perbuatan jenayah ini kerana ia mencemar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dikhuatiri akan menghakis kepercayaan orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 7:53 PM