Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan khas untuk membaiki sekolah yang daif dan memerlukan perhatian segera untuk keselesaan pelajar.

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, hasil pemantauan pihaknya sejak awal tahun lalu, terdapat banyak sekolah yang perlu dibaik pulih secepat mungkin kerana keadaan agak teruk seperti masalah bumbung serta tandas rosak.

Katanya, pemerhatian GPMS mendapati, ada sekolah mengalami kerosakan sejak lebih setahun lalu belum dibaiki walaupun permohonan sudah dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan kementerian.

"Ada juga rakan-rakan guru meminta saya membawa isu ini untuk pertimbangan pihak berwajib. Daripada makluman diterima, memang sekolah berkenaan memerlukan pembaikan dengan kadar segera.

"Selain tandas rosak, ada juga bumbung bocor, kayu reput dan bermacam lagi yang kita khuatir berisiko kepada pelajar. GPMS maklum mengenai kekangan peruntukan, jadi saya mohon perkara ini diberi keutamaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 8:32 PM