Antara balak yang dirampas dalam Ops Pensura. FOTO ihsan PPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) rampas 633 balak dianggarkan bernilai RM557,500 dalam serbuan di tepi sungai Nanga Merama Batang Baleh di Kapit, semalam.

Serbuan kira-kira 5.30 petang hingga 5.55 petang itu dibuat hasil pemantauan dan risikan sejak beberapa hari lalu.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, operasi Ops Pensura itu dijalankan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

Menurutnya, ketika melalui sungai berkenaan, polis menemui sejumlah balak yang diletakkan di tepi sungai.

"Pemeriksaan lanjut mendapati 200 balak yang tidak mempunyai cop kebenaran dari JHS dilonggokkan di kawasan berkenaan.

"Beberapa meter dari lokasi pertama, pasukan operasi turut menjumpai 400 balak juga tidak mempunyai cop kebenaran JHS," katanya, hari ini.

Katanya, balak berkenaan dipercayai ditebang dari kawasan berkenaan sebelum dikumpulkan untuk dibawa ke kilang untuk diproses.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan tiada sesiapa di kawasan berkenaan.

"Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama dengan JHS menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Sindiket pembalakan haram akn terus diburu manakala kegiatan ini akan dibanteras untuk memastikan hutan tidak terus diceroboh," katanya.

Beliau berkata, balak yang dirampas diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 9:13 PM