Anggota polis dan kakitangan hospital mengangkat jenazah Muhammad Fakhrul Ieqbal. FOTO Rosli Ilham


“SAYA tiba di sana pada 6 petang dan ketika itu, saya percaya dia masih bernyawa sebelum saya meniup mulut dan menekan dadanya,” kata Mat Yi Yaakob, 43, ketika berusaha menyelamatkan anaknya yang lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Chemerong, Dungun, hari ini.

Bagaimanapun Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pasir Raja.

Sebelum kejadian itu, mangsa bersama 36 rakannya ke kawasan perkelahan itu kira-kira 3 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang tinggal di Felda Kerteh 4 dikatakan lemas ketika mandi pada 4.30 petang sebelum ditemui orang ramai kira-kira 30 minit kemudian.

Mat Yi berkata, dia yang dimaklumkan kejadian menimpa anak kedua daripada enam beradik bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya bertanya kepada orang ramai kenapa tidak membawanya ke klinik kesihatan. Saya kemudian segera membawanya ke sana bagi mendapatkan rawatan namun sudah terlambat.

"Saya reda dengan kejadian menimpa tetapi terkilan kerana orang ramai tidak membawanya ke klinik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Dalam kejadian berasingan di Kemaman, seorang pelajar tingkatan dua ditemui lemas ketika mandi di kolam takungan di Kampung Bukit Mentok, Chukai pagi ini.

Mangsa, Muhammad Solahuddin Anuar, 14, dari Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman dikatakan mandi bersama tiga lagi rakannya kira-kira 8.30 pagi.

Mayat ditemui di dasar kolam pada 10.49 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 10:06 PM