DADAH yang dirampas cuba diseludup masuk ke Indonesia.
BENJY ditangkap pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan menyeludup syabu.
RAKYAT Malaysia yang ditahan di Indonesia atas kesalahan cubaan seludup dadah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Hukuman tembak mati terhadap pengedar dadah di Indonesia jelas tidak menggerunkan ‘keldai dadah’ Malaysia yang masih meneruskan kegiatan menyeludup dadah ke republik itu.

Malah nyawa dipertaruhkan cukup murah apabila ada antara mereka dibayar sekitar RM3,000 hingga RM5,000 bagi menjayakan misi maut itu.

Lebih menggusarkan apabila hampir setiap bulan terdapat warga Malaysia yang diberkas di negara jiran itu kerana cuba menyeludup dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Kang Chez Chiang turut mengakui berdepan cabaran bagi mengekang kegiatan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran.

Menurutnya, pihak JSJN melakukan banyak tangkapan serta melumpuhkan rangkaian sindiket dadah yang cuba menyeludup dadah ke Indonesia.

“Usaha membenteras sepenuhnya rangkaian sindiket dadah sukar dilakukan sepenuhnya berikutan harga tinggi ditawarkan sindiket sama di negara jiran itu.

“Mereka (ahli sindiket) mahu cepat kaya dan sanggup melakukan apa saja. Setakat ini, pihak JSJN polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama erat dengan Polis Republik Indonesia bagi mengekang sindiket dadah rentas sempadan ini,” katanya.

Difahamkan sekilogram syabu bernilai RM80,000 hingga RM100,000 di Malaysia boleh dijual ke negara jiran mencecah RM300,000.

Dalam kes terbaru Khamis lalu, seorang lelaki warga Malaysia diberkas sebaik tiba dengan penerbangan di Lapangan Terbang Bandara Kualanamu, Medan, Indonesia.

Pemeriksaan menemui peket dadah syabu seberat 258 gram disembunyikan suspek di dalam poket seluar, kasut selain dilekatkan pada tubuh.

Isnin lalu, seorang lelaki warga Malaysia, Cheng Kheng Hoe atau Ahoi mati ditembak petugas agensi dadah Indonesia di daerah Ledo di Bangkayang, Kalimantan Barat.

Cheng antara dua suspek yang mati selepas cuba melarikan diri ketika ditahan pegawai agensi berkenaan.

Pihak berkuasa Indonesia turut merampas 17 kilogram dadah jenis syabu dalam kejadian itu.

Dalam kes berasingan pada 20 Julai lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun turut diberkas di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, Indonesia selepas dikesan cuba menyeludup syabu.

Suspek dikesan cuba menyeludup lima kapsul berisi 138 gram syabu yang disumbatkan ke dalam duburnya.

Lima hari selepas itu, dua wanita warga Malaysia turut diberkas selepas dipercayai diupah menjadi keldai dadah untuk menyeludup syabu seberat 500 gram.

Suspek berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan polis Indonesia ketika berada berhampiran sebuah bank di Sebatik Timur, Kalimantan.

Suspek mengaku diupah ribuan ringgit oleh dalang sindiket di Tawau, Sabah untuk melakukan tugas penyeludupan dadah itu.

Dalam kejadian berasingan 19 Mei lalu, tiga rakyat Malaysia turut diberkas di Makassar, Indonesia selepas didapati menyeludup dadah syabu dari Malaysia.

Kegiatan penyeludupan dadah ke negara jiran itu pernah menggemparkan negara apabila artis tanah air, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim ditangkap pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan menyeludup syabu melalui Lapangan Terbang Medan pada 20 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 7:16 AM