Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS sedang menjalankan siasatan mengenai isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku panduan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia berlaku akibat kesilapan teknikal dan sudah diperjelaskan pihak berkenaan.

"Kita tidak mahu insiden ini membuatkan Indonesia berkecil hati atas perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

"Setakat ini saya tidak dapat maklumat daripada mereka (Indonesia), namun kita sedang mengambil langkah siasatan supaya perkara yang tidak diingini berlaku ini berulang lagi.

"Hubungan kita dengan negara jiran terdekat ini amat penting apatah lagi dengan mereka yang menyertai Sukan SEA ini," katanya ketika sidang media pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, hari ini.

Semalam, kedudukan warna bendera Indonesia dikesan dicetak terbalik pada buku cenderamata Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menerusi satu kenyataan, malam tadi, sudah menyatakan permohonan maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

MASOC menjelaskan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, untuk sekali lagi mohon maaf bagi pihak MASOC.

Khairy sebelum itu sudah meminta maaf atas kesilapan berkenaan bagi menjawab teguran pedas Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

Menerusi laman Twitter, Khairy menyatakan: “Bapak Imam, Please accept my sincere apologies for this. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf.”

Imam menerusi akaun Twitter @imam_nahrawi menyatakan: “Pembukaan #SEAgame2017 yg bagus tapi tercederai dg keteledoran fatal yg amat menyakitkan. Bendera kita....Merah Putih. Astaghfirullaah...”

Berita berkaitan:

'Saya amat kesal dengan kesilapan ini'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:52 AM