Fardy Bungga dan Nurul Huda Kosnon

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi berhubung isu kedudukan warna bendera negara itu yang terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

Khairy menegaskan, kesilapan itu amat dikesali dan pihaknya sudah mengeluarkan arahan untuk menghentikan pengedaran buku cenderamata itu dan melakukan pembetulan dengan segera.

Dalam pertemuan tertutup pada 12.40 tengah hari itu, Khairy turut menyerahkan surat rasmi selaku penganjur Sukan SEA memohon maaf kepada seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia.

"Kesilapan ini amat besar kerana bendera adalah simbol kemegahan sesebuah negara. Kita selaku tuan rumah menzahirkan kekesalan berhubung kesilapan itu.

"Menteri Luar Indonesia juga sudah menghubungi Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berhubung isu ini dan pihak Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar akan mengeluarkan permohonan maaf rasmi kepada negara Indonesia," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy berkata, diharap atas semangat setiakawan dan semangat serumpum permohonan maaf ini dapat diterima rakyat dan Kerajaan Indonesia serta terus mengekalkan hubungan baik antara kedua negara.

Sementara itu, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi berkata, pihaknya sudah menerima permohonan maaf secara lisan dan bertulis daripada pihak penganjur menerusi rakan sejawatannya di Malaysia.

Katanya, pihaknya akan segera melaporkan perkara itu kepada Presiden Indonesia Joko Widodo untuk tindakan selanjutnya.

"Kami berharap perkara ini tidak berulang kembali dan dalam hal ini kita juga harus berlapang dada kerana persabahatan antara kedua-dua negara harus dijaga selama-lamanya.

"Sukan SEA seharusnya menjadi medan untuk semua negara bertemu dan memperkukuhkan lagi persahabatan dan bersatu negara-negara serumpun," katanya.

b>Berita berkaitan:

'Tidak usah dibesarkan-besarkan' - Jokowi

‘Tidak disengajakan, tiada niat buruk’

Polis siasat isu bendera Indonesia terbalik

'Saya amat kesal dengan kesilapan ini'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:52 PM
KHAIRY Jamaluddin (dua kiri) bersama Imam Nahrawi (tiga kiri) memegang bendara kedua-dua negara pada sidang akhbar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman