NOOR Rashid (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan Universiti Awam sambil diperhatikan Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, (dua kanan) dan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusuff (kanan). FOTO Azhar Ramli
Aizat Sharif


POLIS tidak menolak kemungkinan melakukan beberapa lagi penahanan berhubung kes pembunuhan anggota polis Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A), Bukit Aman di Taman Seri Hosba, Changlun, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya mungkin akan melakukan beberapa siri tangkapan lagi selepas ini berhubung kes pembunuhan Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, namun ia bergantung kepada siasatan ke atas tiga suspek yang ditahan untuk membantu siasatan kes itu.

"Buat masa ini, tiga suspek berusia 30 hingga 36 tahun itu ditahan kerana mereka diyakini dapat membantu siasatan kita di peringkat ini bagi mengetahui motif serta punca pembunuhan itu terjadi.

"Kita tengoklah nanti bagaimana siasatan terhadap tiga suspek ini dan jika terdapat keperluan, kita akan melakukan lagi siri tangkapan beberapa suspek yang dapat membantu kes ini," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam Ke-13 Tahun 2017 di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, hari ini.

Beliau turut menjelaskan mengenai mengapa seorang daripada suspek utama pernah menjalani tahanan buang daerah mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di Cameron Highlands, Pahang dibenarkan tinggal di Changlun.

"Suspek itu ada membuat rayuan untuk kembali ke Changun bagi jalani tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan memerlukan ia dipasang peranti EMD terbabit.

"Saya rasa selepas dipasang EMD, dia dihantar ke Jitra untuk menjalani pemulihan selain menghadkan pergerakannya di daerah terbabit sahaja," katanya.

Tambahnya, rentetan kejadian provokasi atau jenayah terhadap anggota polis seperti pembunuhan Abu Hashim dan serangan bom 'molotov cocktail' ke atas Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda akhir ini ternyata tidak melemahkan semangat polis untuk terus membanteras perbuatan jenayah di kalangan masyarakat.

"Provokasi atau insiden yang berlaku tidak pernah melunturkan semangat kita untuk menegakkan undang-undang negara.

"Oleh hal demikian, kita sentiasa komited dalam membanteras segala jenayah yang berlaku di kalangan masyarakat meskipun nyawa kita terancam dan ini mampu membangkitkan ketakutan di kalangan masyarakat untuk terus berbuat jenayah," katanya.

Semalam dua lelaki menyerah diri selepas polis mengedarkan dua gambar lelaki dipercayai boleh membantu siasatan kes pembunuhan terbabit.

Ia susulan detektif yang bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, ditembak dari arah belakang oleh penyerang yang memanjat tembok kediaman lelaki yang dikunjunginya, malam kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata lelaki berusia 35 tahun terbabit yang juga suspek utama bertemu dengan mangsa turut ditahan di tempat kejadian.

Berita berkaitan

Pembunuh upahan yang bunuh

Suspek bunuh Sub Inspektor direman

Suspek kedua bunuh Sub Inspektor ditahan

Suspek bunuh Sub Inspektor ditahan

Arwah ditembak masa tengah berbual

Anggota polis Bukit Aman maut ditembak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 3:46 PM