Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERAJAAN menerusi Wisma Putra menyuarakan rasa kesal atas kesilapan yang tidak disengajakan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) berhubung penerbitan bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata upacara pembukaan Sukan SEA Ke-29 (KL2017), malam tadi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan Malaysia memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat republik Indonesia.

"Dalam hal ini, kami ingin memberi jaminan kepada kerajaan Indonesia bahawa semua langkah sudah diambil untuk menangani situasi tidak diingini itu.

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi pihak jawatankuasa penganjur sudah bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, untuk menjelaskan kesilapan yang dikesali dan menyampaikan permintaan maaf bagi pihak MASOC," katanya.

Katanya, Malaysia memberi perhatian kepada hubungan persaudaraan yang rapat dan mendalam dengan Indonesia.

Anifah berkata, sememangnya, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini adalah peristiwa yang Malaysia laburkan untuk mendedikasikan semula diri kita kepada nilai, kebudayaan dan takdir yang dikongsi bersama.

"Dalam semangat ini, kita berharap dan percaya bahawa kedua negara kita akan terus berinteraksi dengan rapat dan dalam melaksanakannya, menguatkan hubungan antara kita dan rantau ini secara keseluruhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 4:58 PM