LEE Lam Thye (empat kiri) dan Mohd Shafei (empat kanan) di majlis perasmian seminar pencegahan jenayah. FOTO Salhani Ibrahim
Fairul Asmaini Mohd Pilus


YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan mengadakan lebih banyak kempen di seluruh negara bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai ancaman jenayah dalam kalangan warga emas.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, MCPF negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk mengadakan kempen keselamatan dan pencegahan jenayah di setiap negeri bagi memastikan maklumat dapat disampaikan ke semua kawasan termasuk luar bandar

Kata beliau, selain kempen, anggota keluarga juga perlu memainkan peranan dengan berkongsi maklumat mengenai aliran jenayah terkini dan modus operandi penjenayah, supaya warga emas tidak mudah menjadi mangsa.

Katanya, kesedaran itu penting kerana Malaysia akan menjadi "negara tua" menjelang 2030, menurut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Selain itu, pihak berkuasa dan orang ramai juga harus memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan kes jenayah yang membabitkan warga emas, terutama yang tinggal bersendirian.

"Ini kerana warga emas sememangnya lebih lemah, tidak berupaya mempertahankan diri dengan baik selain senang menjadi sasaran penjenayah kerana mudah percaya kepada orang tidak dikenali," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Warga Kota: Elak Terpedaya Bertindak Bijak Untuk Warga Emas di Pusat Komuniti Gombak, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah dan Pengerusi MCPF Kuala Lumpur, Bok Siew Mun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:26 PM