NURUL Hizam (dua kiri) memeriksa nelayan warga asing yang ditahan. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 11,000 kilogram (Kg) ikan, bot serta 100,000 minyak diesel bernilai RM1.3 juta di 96 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh, kelmarin.

Operasi Perkasa Timur pada 10 malam itu turut menahan tekong dan 27 awak-awak warga Vietnam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, nelayan warga asing yang ditahan berusia antara 17 hingga 53 tahun.

Katanya, sebelum ditahan, mereka cuba melarikan diri selepas dihampiri anggota penguatkuasa dan memadamkan lampu bot.

"Namun, taktik nelayan warga asing itu tidak berjaya apabila kita menahan bot mereka. Sebahagian nelayan itu juga cuba bersembunyi di ruang penyimpanan ikan dan di bawah timbunan pukat.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 11,000 Kg tangkapan pelbagai jenis ikan dan minyak diesel.

"Kita menahan kesemua nelayan warga asing berkenaan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen iaitu menangkap ikan di perairan laut Malaysia," katanya ketika ditemui di pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, nelayan yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut dan direman selama dua minggu bermula hari ini.

Menurutnya, berhubung penemuan 100,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam bot, pihaknya akan membuat siasatan lanjut sama ada mereka menyeludup bahan api berkenaan untuk dijual ke negara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:39 PM