ANGGOTA polis mengiringi Nadesan (tengah) di pekarangan mahkamah, semalam.
HM Digital

Sungai Petani: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani semalam atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 35 Sungai Petani’.

Kedua-dua tertuduh, M Nadesan, 25, dan S Kanageswaran, 34, hanya mendiamkan diri selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim M Vijayalakshmi dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 35 Sungai Petani’ dalam daerah Kuala Muda antara 1 Januari 2015 dan 10 Ogos 2017.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1), Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut subseksyen sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin kerana penahanan mereka adalah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh dan 13 September ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:06 AM