GUNUNG Elbrus.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kurang seminggu saja lagi pasukan pendaki wanita, Kembara Srikandi Prihatin (KSP) akan bertolak ke Russia, Rabu ini bagi menjayakan misi menakluk Gunung Elbrus.

Puncak tertinggi Eropah setinggi 5,642 meter (m) itu antara tujuh puncak tertinggi di tujuh benua yang sememangnya menjadi idaman ramai pendaki.

Justeru, seperti ekspedisi ke gunung bersalji lain, perancangan dan persiapan rapi mesti dilakukan kerana selain perlu berdepan cuaca sejuk yang esktrem, pendaki harus menyesuaikan diri dengan perbezaan keadaan bentuk muka buminya.

Dalam tempoh minggu terakhir ini, pasukan KSP lebih memberi tumpuan kepada senarai semak peralatan mendaki yang perlu dibawa seperti ice axe, harness, trekking poles. carabiner dan wisel.

Untuk pakaian seperti jaket, baju, seluar dan kasut bersesuaian iaitu jenis teknologi Goretex menjadi pilihan kerana ia mampu membantu pendaki ketika berdepan dengan suhu sejuk melampau.

Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Ahmad Fakhri Abu Samah berkata, tempoh seminggu terakhir itu perlu digunakan dengan sebaiknya oleh setiap pendaki bagi membuat persiapan secukupnya.

“Bagi mengelakkan kecederaan, semua pendaki tidak dibenarkan menjalani latihan intensif dan hanya perlu membuat latihan ringan.

“Selain itu, pendaki juga perlu mengelakkan dari mengambil makanan pedas dan sebagainya yang boleh menyebabkan gangguan kepada sistem penghadaman seperti cirit- birit dan sebagainya.

“Apa yang penting, dalam tempoh kurang daripada seminggu ini semua pendaki perlu mengambil minuman air putih yang secukupnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program KSP, Ummu Farah Haidar Zulkifli berkata, pasukan KSP dijadual bertolak ke Rusia pada 23 Ogos ini melalui Bangkok, Thailand.

Dari Moscow, mereka akan mengambil penerbangan domestik ke Mineralnye Vody sebelum menuju ke Terskol Village.

“Kami akan menjalani empat fasa latihan penyesuaian diri terhadap altitud tinggi bermula 26 Ogos pada ketinggian 2,125 m sehingga 4,700 m.

“Jika tiada aral, pendakian ke puncak Gunung Elbrus dari Barrels Hut dijadualkan akan bermula jam 3.30 pagi (waktu Rusia) pada 31 Ogos dengan anggaran masa antara enam hingga sembilan jam bergantung kepada keadaan semasa cuaca serta keadaan pendaki.

“Persiapan rapi sudah dilakukan dan kami mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia supaya misi ini akan berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:52 AM