JOHOR BAHRU 21 AUGUST 2017. Dua tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas didapati tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengedar dadah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA penganggur dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini selepas didapati tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengedar 149.58 gram campuran heroin dan monoacetylmorphines serta 70.08 gram methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Teo Say Eng membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, Nordin Ahmad, 47, dan Liaw Bong Heng, 56, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Teo berkata, ketika perbicaraan, keterangan kimia tidak dikemukakan, sebaliknya hanya diberikan dengan keterangan lisan.

Beliau juga berkata, identiti terhadap barang kes dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung adalah meragukan.

"Kenyataan mengenai waktu dadah itu diperolehi juga dipersoalkan dan menimbulkan keraguan.

"Berlaku juga percanggahan keterangan yang diberikan tiga saksi menjadikan tiada kredibiliti dan bukti kukuh untuk mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan," katanya.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka yang berasal dari Pontian, Johor didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan rumah di Kayu Ara Pasong, Pontian, pada 4.45 petang 9 Oktober 2015.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding yang sama, Liaw turut dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi tuduhan mengedar 362.71 gram campuran heroin dan monoacetylmorphines di kebun kelapa sawit, Jalan PT Haji Tahir, Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor, kira-kira 9.30 malam, hari yang sama.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil mengemukakan lapan orang saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 13 Februari lalu.

Nordin diwakili peguam Chuah Shyue Chien, manakala peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali, Arif Aizuddin Masron dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili Liaw.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 1:21 PM