18 penerbitan yang diwartakan di bawah Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 18 penerbitan diwartakan di bawah Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan keselamatan, moral, ketenteraman dan kepentingan awam.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, Perintah Larangan itu dibuat melalui Warta Kerajaan P.U(A) 206 - 208 dan P.U(A) 210 - 220 bertarikh Julai 2017.

Beliau berkata, perintah itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) iaitu larangan mencetak, mengimport, menghasilkan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan asal bagi kesemua penerbitan itu.

"Antara penerbitan berkenaan termasuk Fatimah Az- Zahra Wanita Solehah Sinaran Zaman yang mengandungi unsur ajaran Syiah.

“Selain itu, buku lain adalah Humanisme Islam: Kajian Terhadap Pemikiran Filosofis Muhammad Arkoun dan Breaking The Silent: Voices of Moderation, Islam In A Constitutional Democracy yang dipercayai mengandungi unsur mempromosikan ideologi liberalisme dan pluralisme," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, semua penerbitan itu dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutama generasi muda selain tidak sesuai dijadikan bahan bacaan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 6:52 PM