BOT pukat tunda yang menarik pukat di kawasan bawah lapan batu nautika dari pantai Langkawi ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam awak-awak tempatan dan merampas dua bot pukat tunda kelas B1 kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Langkawi, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, bot pukat tunda pertama ditahan 3.40 petang diikuti penahanan kedua sejam kemudian oleh sepasukan anggota APMM yang menyertai Operasi Satria Utara di sekitar perairan Langkawi.

Katanya, terdahulu ketika rondaan bot peronda maritim mengesan kedua-dua bot pukat tunda kelas B1 masing-masing dengan nombor pendaftaran PSF2049 dan PSF2428 itu sedang menarik pukat di kawasan bawah lapan batu nautika dari pantai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot itu masing-masing dinaiki tiga awak-awak tempatan berusia antara 27 dan 66 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot pukat tunda dan awak-awak terbabit ditahan dan diserahkan kepada Seksyen Siasatan Daerah Maritim Langkawi untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(B) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan itu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:08 PM