TENGKU Azizah melihat pameran kain Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya Pulau Keladi, kelmarin.

Pekan: “Saya tidak sangka anak saudara sendiri, Tunku Tun Aminah sudi memakai kain Tenun Pahang Diraja yang dihadiahkan oleh saya pada hari perkahwinannya,” titah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Tengku Azizah bertitah, puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim memaklumkan mahu melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun ini dan baginda memutuskan untuk menghadiahkan kain Tenun Pahang Diraja.

“Saya memberinya kain Tenun Pahang Diraja sebagai hadiah perkahwinan tetapi tidak sangka Tunku Tun Aminah menjadikan kain itu sebagai busana untuk dipakai pada hari perkahwinannya.

“Ia adalah satu pengiktirafan yang besar dan penghormatan kepada Tenun Pahang Diraja,” titah baginda pada Majlis Perasmian Projek Kraf KampungKu (KKK) Tenun Pahang Diraja di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Yean Yoke Heng.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:26 AM