WARGA asing diperiksa dalam operasi di Puncak Alam. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Nur Izzati Izzah Nadzi


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 23 warga asing dalam operasi di dua rumah kongsi di Puncak Alam, hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 4 pagi itu, 23 orang yang ditahan membabitkan 19 warga Indonesia termasuk kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, tiga dari Bangladesh dan seorang warga Myanmar.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Selangor, James Lee berkata, serbuan dilakukan di dua rumah kongsi tapak pembinaan Persiaran Puncak Alam Enam dan 10.

Beliau berkata, operasi pertama kali di tapak pembinaan itu adalah hasil siasatan dan aduan orang ramai mengenai pekerja binaan yang sering mengganggu masyarakat setempat.

"Operasi ini turut disertai pegawai penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kesalahan mereka adalah tiada dokumen dan pas sah serta tinggal lebih masa," katanya di Puncak Alam, hari ini.

Beliau berkata, 17 warga asing yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada pas sah manakala enam yang lain mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Foto Ihsan JIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 11:30 AM