Tan (dua dari kiri) melancarkan UD Trucks Croner serba baru. FOTO Rosela Ismail
Lizam Ridzuan


TAN Chong Industrial Equipment (TCIE) pengedar utama UD Trucks di Malaysia melancarkan trak tugas sederhana model Croner serba baru hari ini.

Jentera itu memenuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar Euro 3 dalam dua varian PKE dan LKE dengan kapasiti 18.5 tan dan 14.5 tan.

Ciri terkini yang terdapat pada trak Croner ialah siri enjin GHE jimat penggunaan bahan api, transmisi automatik dan reka bentuk kabin yang erodinamik dan selesa.

Ia juga menawarkan sistem brek angin sepenuhnya dengan ABS yang didatangkan bersama Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Pengarah Eksekutif TCIE Tan Keng Meng berkata, sebagai jenama trak dari Jepun yang menyerlah dan dipercayai dalam industri trak di negara ini ia dilengkapi pelbagai ciri terkini.

“Model Croner tahan lasak dan berkualiti tinggi mengutamakan versatiliti bagi memenuhi keperluan pelanggan dan perniagaan," katanya ketika pelancaran di Serdang, hari ini.

Model Croner dengan enjin 5.0 liter dan 8.0 liter dijual pada harga bermula RM170,000 hingga RM220,000 dan tambahan RM40,000 bagi kotak gear transmisi automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:24 PM