Shahurinain menunjukkan pistol tiruan serta barangan yang digunakan suspek. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS berjaya menyelesaikan lapan kes samun bersenjata api dan menyamar penjawat awam dengan penahanan dua lelaki di Jalan Kebun Teh dekat Larkin, Johor, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan pada 8.10 malam ketika menyamun seorang warga asing.

Beliau berkata, suspek menyamar sebagai pegawai polis dengan memakai vest selain menunjukkan pistol tiruan ke arah mangsa.

"Dua suspek ini dipercayai terbabit dalam lapan kes seumpama ini sejak Januari lalu. Dalam kes yang dilakukan, mereka bukan saja menyamar sebagai polis malah turut menyamar sebagai anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Itu modus operandi dilakukan suspek dan kebanyakan sasaran mereka ialah lelaki warga asing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, hari ini.

Shahurinain berkata, polis menjalankan pemeriksaan pada motosikal digunakan suspek dan menjumpai pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun dan hasil kegiatan jenayah.

Katanya, antara yang dirampas ialah alat renjatan elektrik, pistol tiruan, enam telefon bimbit, dompet, beberapa not mata wang asing dan kad pengenalan diri Indonesia.

Shahurinan berkata, suspek sebelum ini ditahan reman empat hari dan akan disambung lagi selepas tempoh reman itu tamat hari ini.

"Mereka masing-masing mempunyai rekod jenayah pecah amanah dan curi kenderaan.

"Mereka positif methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing yang dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 9:40 PM