Anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


KANAK-kanak perempuan berusia sembilan tahun cedera selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan berhampiran Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Mangsa terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira dua meter itu kira-kira 3 petang menyebabkan dia sukar keluar menyelamatkan diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Mohd Yusof Md Ali berkata, pihak bomba menerima panggilan 3.11 petang daripada orang awam dan sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Pemanggil memaklumkan seorang murid sekolah terjatuh ke dalam lubang kumbahan dengan paras air kira-kira satu meter.

"Anggota mengeluarkan mangsa dengan menggunakan tali sebelum diserahkan kepada hospital untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, difahamkan mangsa patah kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Sebelum kejadian dia bersama rakannya dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri aktiviti kokurikulum sebelum terpijak penutup lubang itu yang dipercayai tidak rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 10:01 PM