ABDUL Aziz (berdiri, empat kanan) bersama Abdul Azeez (dua kanan) melihat bakal jemaah haji Ahmad Tamil (duduk) membuat imbasan cap jari di KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


MALAYSIA negara pertama melaksanakan projek rintis proses imbasan awal jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus memudahkan perjalanan mereka sebaik tiba di Tanah Suci.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, menerusi pelaksanaan projek itu, pemeriksaan imigresen Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia dilakukan di KLIA serta tidak perlu dibuat di Arab Saudi.

"Dengan ini, jemaah haji terbabit tidak perlu menunggu lama bagi urusan pemeriksaan dokumen perjalanan yang mengambil masa sehingga enam jam di lapangan terbang di sana.

"Pemeriksaan dokumen ini dibuat sendiri oleh pegawai imigresen Arab Saudi yang datang ke Malaysia jadi jemaah haji boleh terus mengambil bagasi sebaik tiba di Tanah Suci," katanya kepada pemberita pada pelaksanaan projek rintis proses imbasan awal jemaah haji Malaysia di KLIA, Sepang, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek rintis berkenaan membabitkan jemaah haji Malaysia yang berlepas menerusi penerbangan hari ini sehingga Isnin.

Menurutnya, sekiranya projek itu berjaya, ia diharap dapat dilaksanakan setiap kali musim haji serta umrah.

"Kuala Lumpur dipilih sebagai negara pertama yang melakukan imbasan awal ini bagi jemaah haji Malaysia dan belum ada negara lain melakukannya.

"Hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi selain kemudahan disediakan di KLIA bertaraf dunia membolehkan projek rintis ini dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 1:51 PM