X
ANGGOTA SPRM menaikkan bendera SPRM di Bangunan Baru Ibu Pejabat  SPRM, Presint 7, Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat
ANGGOTA SPRM menaikkan bendera SPRM di Bangunan Baru Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat
Hayati Ibrahim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan beberapa saksi di luar negara untuk membantu siasatan pembelian hotel hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes berkenaan kini belum dapat disiapkan kerana ia membabitkan saksi dari luar negara.

Beliau berkata, proses untuk mengambil keterangan saksi di luar negara perlu dibuat melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Jadi, SPRM akan membuat permohonan melalui Peguam Negara dan beliau akan berkomunikasi dengan Peguam Negara di negara terbabit dan ia pastinya akan mengambil masa.

"Buat masa ini, kita tidak boleh maklum berapa saksi lagi, (kerana) sekarang kita sedang mengenal pasti ramai lagi individu, dan saksi berkenaan terdiri daripada rakyat tempatan dan luar negara," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara menurun dan menaikkan bendera SPRM sempena beroperasi di bangunan baharu di Presint 7, Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Azam berkata, pihaknya akan memohon untuk memanggil mana-mana saksi yang difikirkan terbabit dalam siasatan untuk memberi keterangan.

Sementara itu, mengenai kes pembelian hotel di Kuching, Sarawak pula, beliau berkata, laporan lengkap siasatan dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.

"Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk diperhalusi, dibawah peruntukan Perlembagaan, itu (pendakwaan) hak Peguam Negara dan pegawai dibawahnya untuk melihat keterangan yang diperolehi,"katanya.

Selain itu, Azam berkata, empat saksi sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta oleh pejabat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kepada syarikat swasta.

Katanya, beberapa saksi lain lagi akan dipanggil untuk membantu siastan termasuk pegawai dari MBI dan sebagainya.

Gambar Abdul Rahim Rahmat

#kw Azam Baki FIC panggil saksi luar negara, SPRM

#loc 2.926361, 101.696445

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 2:00 PM