KERJA meroboh kuarters kastam berjalan tanpa halangan. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
KERJA meroboh kuarters kastam berjalan tanpa halangan. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin


OPERASI perobohan baki 57 unit kuarters Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang terbabit dalam Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Kampung Kastam, Gelugor, Georgetown berjalan lancar, hari ini.

Kerja perobohan bermula 9 pagi sambil dikawal kira-kira 50 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL).

Turut hadir, sepasukan pegawai dan anggota KDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pegawai Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan serta Naib Presiden Pengurusan Tanah PR1MA Abu Bakar Ismail.

Abu Bakar berkata, operasi perobohan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan memfokuskan 57 unit kuarters kosong dan pihaknya bersyukur kerana berjalan lancar tanpa halangan.

Beliau berkata, biarpun terdapat 37 unit rumah yang masih berpenghuni pihaknya menyeru agar mereka memberi kerjasama baik dan patuh pada arahan diberikan sejak dua tahun lalu.

"Kerja pembinaan projek akan bermula sejurus semua kerja perobohan selesai," katanya.

Petang semalam, lelaki berusia 41 tahun ditahan kerana cuba menghalang kerja perobohan berkenaan.

Secara keseluruhan 114 kuarters terbabit dalam kerja perobohan itu dengan 77 sudah dikosongkan manakala 37 lagi masih berpenghuni dan sebanyak 20 daripada 77 unit kosong itu sudah diroboh, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 2:44 PM