MALAYSIA Airlines nafi menawarkan tiket percuma (atas) seperti yang disebarkan menerusi Whatsapp (bawah) dan media sosial.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) menafikan pihaknya akan memberikan dua tiket percuma kepada 500 pelanggan bertuah.

Penafian itu dibuat menerusi Facebook rasmi Malaysia Airlines yang menggesa orang ramai tidak mempercayai promosi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kami menyedari terdapat laman web yang menggunakan jenama kami untuk memberikan tiket percuma.

“Kami menggesa orang ramai tidak mengambil kira peraduan ini dan juga mendedahkan butiran peribada,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, semua pertandingan yang dianjurkan MAB dikeluarkan di platform sosial rasmi mereka.

Sejak dua hari lalu tersebar kiriman melalui media sosial dan Whatsapp mengatakan sempena menyambut ulang tahun ke-70 Malaysia Airlines akan memberikan dua tiket percuma kepada 500 pelanggan bertuah.

Malah, mesej itu turut meminta pelanggan menekan pautan yang akan menghubungkan dengan laman web untuk menjawab beberapa soalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 3:34 PM