Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Bintulu dengan tertangkapnya tujuh lelaki dan merampas syabu bernilai RM14,500, hari ini.

Lima lelaki Indonesia dan dua lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bermula 1 hingga 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zailani Amit berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki tempatan dan Indonesia di depan tandas awam perhentian bas 1Malaysia di Jalan Tun Razak dan merampas 43 tiub berisi syabu.

Menurutnya, susulan itu, seorang lagi lelaki Indonesia bersama 11 tiub syabu ditahan di lokasi sama. “Polis kemudian dibawa ke sebuah hotel bajet di bandar Bintulu dan merampas 10 tiub dadah dan menahan seorang lelaki tempatan.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah motel di Pusat Komersial Parkcity dan menahan dua lelaki Indonesia bersama 200 tiub syabu berkenaan sebelum seorang lagi lelaki Indonesia ditahan di depan motel beberapa minit kemudian.

"Sebanyak 268 tiub syabu dianggarkan bernilai RM14,500 bersama wang tunai RM2,018 dirampas dalam operasi berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zailani berkata, sindiket yang didalangi warga asing itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Bintulu sejak dua bulan lalu dan sentiasa bertukar lokasi bagi mengelak dari dikesan polis.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis yakin sindiket itu ditumpaskan.

"Semua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 23 (1)(a) Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 7:35 PM