Lokasi kejadian dua lelaki meragut beg sandang jurujual di Jalan Bukit Chagar, Tun Abdul Razak, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor Bahru Selatan (JBS) menahan lelaki yang meragut beg sandang jurujual di Jalan Bukit Chagar, Tun Abdul Razak, Johor Bahru, kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu, hari ini.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira 2.05 petang di Jalan Sui Nam, Johor Bahru, selepas pemeriksaan terhadapnya menemukan pelbagai barangan milik mangsa yang dilarikan.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa yang berusia 39 tahun diragut dua lelaki ketika berjalan seorang diri di lokasi kejadian untuk pergi bekerja di Singapura, kira-kira 7.30 pagi.

"Ketika melalui laluan yang juga jalan pintas ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu, mangsa didatangi sebuah motosikal Honda Wave yang nombor pendaftarannya tidak dapat diketahui ditunggang dua lelaki dari arah belakang.

"Selepas menghampiri mangsa, pembonceng motosikal terus menarik beg sandang mangsa dan terus melarikan diri bersama rakannya.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan keadaan jalan di situ agak lengang, namun mangsa dapat mengecam muka seorang daripada suspek iaitu pembonceng yang mengambil beg sandangnya," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan kad pengenalan, tiga kad ATM, lesen memandu, pasport antarabangsa dan wang tunai RM500 yang jumlah keseluruhan kerugiannya dianggarkan sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Shahurinain, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek yang ditahan mendapati di dalam beg sandangnya terdapat kad pengenalan, pasport dan kad bank atas nama mangsa dan turut dijumpai sebuah telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan ragut terhadap mangsa bersama rakannya yang masih bebas.

"Suspek yang ditahan adalah pembonceng motosikal yang meragut beg sandang milik mangsa," katanya.

Shahurinain berkata, suspek yang beralamat di Kulai, Johor itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes curi dalam bangunan dan dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 9:11 PM