Tiga beranak cedera dalam kemalangan berhampiran SK Sungai Limau, Sungai Besar hari ini. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

 

[email protected]

 

TIGA beranak cedera selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan di Kilometer 51 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Sungai Besar hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Norehan Ahmad, 39, bersama anak, Nur Syamim Hadirah Shahrizal, 12 dan Nur Syaza Afiqah, 10, dalam perjalanan pulang ke rumah di Tebuk Marso dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135.

Motosikal itu dirempuh Toyota Innova dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah belakang ketika tiga beranak itu hendak membelok ke kiri.

Norehan mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan buku lali kanan manakala Nur Syamim dan Nur Syaza masing-masing patah bahu kanan dan tangan kanan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) dekat sini sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 12:07 AM