KONTRAKTOR melakukan kerja meruntuhkan kuarters kastam untuk pembinaan projek PR1MA di Kampung Kastam, Gelugor, Pulau Pinang.
KONTRAKTOR melakukan kerja meruntuhkan kuarters kastam untuk pembinaan projek PR1MA di Kampung Kastam, Gelugor, Pulau Pinang.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: “Alhamdulillah, tiada lagi sebarang provokasi atau gangguan seperti berlaku semalam (kelmarin) dan kerja meroboh semuanya berjalan dengan lancar,” kata Naib Presiden Pengurusan Tanah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Abu Bakar Ismail di Kampung Kastam, Gelugor, di sini, semalam.

Beliau berkata, kerja merobohkan baki 57 unit kuarters Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang terbabit dalam projek berkenaan dimulakan jam 9 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari sambil dikawal selia 50 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL).

Menurutnya, operasi itu turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota KDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbandaran Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semuanya berjalan lancar selepas semalam (kelmarin) kita merobohkan 20 unit kuarters kosong daripada 114 jumlah keseluruhan kuarters di Kampung Kastam.

“Sebanyak 37 rumah masih berpenghuni dan kita menyeru agar mereka (penduduk) dapat memberi kerjasama dan patuh kepada arahan diberikan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Abu Bakar berkata, pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan selaku pemilik tanah sah akan membuat satu kertas kerja bagi dihantar untuk perhatian kerajaan negeri dan Kabinet untuk keputusan.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat merobohkan semua kuarters dengan segera selain meminta penduduk memenuhi arahan kerana notis diberikan dua kali iaitu pada 21 September 2015 dan 19 April 2016.

“Kerja pembinaan projek akan bermula sejurus semua kerja meroboh selesai dan Kerajaan Persekutuan turut merancang membina rumah mampu milik dan perumahan kos sederhana rendah di atas tanah kerajaan berkeluasan 7.28 hektar itu.

“Ingin dijelaskan pesara KDRM adalah penyewa saja dan bukan tuan rumah dan dalam syarat bagi penyewa kuarters KDRM negeri, mereka perlu bertanggungjawab menyerahkan kuarters itu kepada KDRM dalam masa 30 hari.

“JKPTG turut mengarahkan KDRM menyelidik latar belakang pesara dan hasilnya ada antara mereka mendapat pinjaman kerajaan dan bank untuk membeli rumah sendiri dan boleh didiami pada bila-bila masa,” katanya.

Kerajaan Persekutuan merancang membina PR1MA di Kampung Kastam dengan menyediakan 212 unit rumah kos sederhana rendah dan 905 unit rumah mampu milik berharga RM72,500 hingga RM300,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:49 AM