Mayat mangsa tertiarap selepas jatuh dari ketinggian 20 meter. FOTO Facebook Suara Anak Pengerang dan Community Roda Johor (CRJ)
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEORANG pekerja subkontraktor maut selepas terjatuh dari ketinggian 20 meter di tapak projek kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dekat Pengerang, Kota Tinggi, Johor, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Datuk Mohtar Musri.

Beliau berkata, mangsa yang juga seorang pemasang perancah bertauliah itu jatuh dari ketinggian 20 meter dan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah JKKP Johor, Ir Saiful Azhar Mohd Said ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa yang jatuh dari besi perancah itu semalam.

Katanya, pegawai JKKP Johor sudah diarahkan ke lokasi kejadian selepas kejadian itu dilaporkan semalam.

"Pegawai saya masih berada di sana untuk menjalankan siasatan terperinci. Saya masih menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu," katanya.

Kejadian menimpa mangsa itu turut tular di laman media sosial Facebook dengan beberapa pihak mendakwa ia adalah kejadian yang sering berlaku dalam tapak projek berkenaan.

Difahamkan, mangsa lelaki itu berasal dari Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah pada masa sama turut menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 4:27 PM