KEADAAN Perodua Kancil dinaiki pasangan suami isteri warga emas yang terbabit dalam kemalangan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: “Walaupun dipujuk, mereka tetap mahu balik ke rumah di Kuantan untuk berehat dan memaklumkan akan datang semula ke Terengganu tetapi siapa sangka mereka pergi buat selama-lamanya,” kata Mohamad Zulkairi Yusof, 39, anak kepada pasangan warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Yusof Mohamad, 69, yang parah di muka dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Rokiah Sulong, 61, mengalami kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketika kejadian, pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang selepas hampir dua minggu menjaga anak sulung mereka, Mohd Zamri, 46, yang dirawat di HSNZ.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Mohamad Zulkairi berkata, dia menerima panggilan yang memaklumkan ibu bapanya terbabit dalam kemalangan dan diminta ke lokasi kejadian sebelum diminta terus ke HSNZ.

“Sebelum kejadian, saya sempat bersarapan bersama mereka jam 7.30 pagi dan mereka memaklumkan mahu pulang ke Kuantan untuk berehat.

“Saya menghalang dan minta mereka berehat saja di rumah saya di Bukit Petiti, Manir tetapi mereka tetap dengan keputusan itu dan berjanji akan datang semula ke sini.

“Tidak sangka pula akan terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa mereka berdua,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.

Mohamad Zulkairi yang juga kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berkata, arwah ibu bapanya itu sudah dua minggu berada di Kuala Terengganu kerana mahu menjaga abang sulungnya yang dirawat di HSNZ kerana masalah jantung.

“Dalam tempoh itu, mereka bergilir-gilir bersama kakak ipar menjaga abang cuma dua tiga hari ini, mereka menunjukkan perubahan pelik kerana tidak mahu balik ke rumah saya sebaliknya bermalam di hospital kerana mahu menjaga abang.

“Malam tadi (semalam), mereka hanya bersetuju balik ke rumah saya untuk berehat selepas dipujuk dan pagi ini, mereka memaklumkan mahu pulang ke Kuantan.

“Mereka memang sentiasa bersama dan tidak sangka ‘dijemput’ sekali,” katanya sambil memaklumkan jenazah ibu bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Ladang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kejadian itu. Menurutnya, jenazah pasangan itu dibawa ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:51 AM