RAHIM bersama pegawainya ketika membuat pemeriksaan hasil tangkapan oleh bot nelayan asing yang ditahan.


Kuala Terengganu: Helah nelayan asing menyamar sebagai nelayan tempatan dengan memasang Jalur Gemilang dan bendera Terengganu pada bot gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Kedua-dua bot terbabit ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi kapal ronda KM Segantang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding pada kedudukan 100 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada jam 3.59 petang dan 4.29 petang.

Walaupun pelbagai helah cuba dilakukan nelayan asing dalam usaha mengelak dihidu pihak berkuasa, kepakaran anggota APMM berjaya mengesan dan menahan bot terbabit.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 9 (DM9) Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, bentuk fizikal bot nelayan asing dan tempatan tidak sama dan mudah dikesan walaupun mereka melakukan pelbagai cara penyamaran.

“Sebaik menyedari kehadiran bot APMM, nelayan terbabit bertindak memotong tali pukat pada kedua-dua bot sebelum melarikan diri, tetapi cubaan mereka gagal apabila ditahan kira-kira setengah jam kemudian.

“Pemeriksaan pada bot pertama mendapati terdapat empat awak-awak dan tekong berusia antara 16 hingga 31 tahun manakala bot kedua seramai 17 awak-awak termasuk tekong berusia antara 15 hingga 47 tahun.

“Berikutan penahanan itu, kami merampas 3,000 kilogram ikan campur, ikan baja dan sotong serta 11,000 liter diesel di kedua-dua bot terbabit dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua 21 nelayan terbabit sudah direman selama 14 hari sehingga 5 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen dan permit sah menangkap ikan di perairan negara ini.

Menurutnya, nelayan terbabit turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Rahim berkata, nelayan terbabit dipercayai menceroboh perairan negeri ini sejak sebulan lalu dan menggunakan modus operandi dengan melakukan aktiviti penangkapan di kawasan sempadan.

“Taktik ini bertujuan memudahkan mereka bertindak keluar dari sempadan perairan negara dengan cepat sekiranya terserempak dengan pihak berkuasa maritim Malaysia,” katanya.

Rahim berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi mengesan dan menahan nelayan asing yang berada di perairan negeri ini.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan 19 bot nelayan asing dengan nilai rampasan bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan antara RM50 hingga RM60 juta sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:49 AM