Seekor tapir jantan seberat 300 kilogram mati dilanggar kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Pintasan Kuantan-Gebeng, malam tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mendapati kecederaan serius pada kepala dan perut menyebabkan dua tapir mati selepas dilanggar kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan-Gebeng, Kuantan, malam tadi.

Pengarahnya, Ahmad Azhar Mohammed berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika haiwan berusia antara lapan hingga 10 tahun itu cuba melintas kira-kira 10 malam selepas keluar dari hutan di kawasan terbabit.

Katanya, kemalangan membabitkan dua tapir mati dilanggar secara serentak jarang berlaku di negeri ini berbanding beberapa negeri lain yang pernah direkodkan sebelum ini.

Katanya, rekod PERHILITAN Pahang mendapati sebelum ini pernah berlaku kejadian tapir mati dilanggar kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan yang mana ada kawasan hutan belukar dan tanah pamah.

"Tapir aktif pada sebelah malam untuk mencari makan di kawasan yang banyak tumbuhan rendah, kemalangan berlaku apabila haiwan berkenaan cuba melintas jalan di laluan utama.

"Dalam tempoh lapan bulan tahun ini sebanyak lima tapir mati selepas terbabit kemalangan di daerah ini dan beberapa daerah lain," katanya ketika dihubungi, di sini.

Ahmad Azhar berkata, bagi mengurangkan kemalangan membabitkan tapir di negeri ini, pihaknya akan berusaha menambah lebih banyak papan tanda peringatan kawasan lintasan haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 4:01 PM