ANGGOTA APM cuba mengeluarkan kucing yang tersepit di pintu jeriji besi premis kedai.
HM Digital

Sandakan: Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu menyelamatkan seekor kucing yang tersepit di pintu jeriji besi sebuah premis di tingkat bawah sebuah flat di Taman Matahari, Batu 4, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, kucing terbabit dikatakan terjun dari tingkat dua flat sebelum berlari dan tersepit di pintu.

Pegawai APM Sandakan Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga pemilik haiwan berkenaan.

“Pengadu memaklumkan kucing peliharaannya terjatuh dari tingkat dua rumah mereka. Selepas terjatuh, kucing itu berlari lalu tersepit pula di pagar sebuah premis di tingkat bawah.

“Anggota bertugas berjaya mengeluarkan kucing terbabit. Pemeriksaan awal mendapati ia cedera di bahagian hidung lalu dihantar ke Klinik Haiwan Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:44 AM