NAJIB (dua kiri) mengacau hidangan yang di sediakan Rosmah (tiga kiri) sempena pelancaran laman web BAKTI dan Buku Koleksi Resipi Bakti. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NAJIB (dua kiri) mengacau hidangan yang di sediakan Rosmah (tiga kiri) sempena pelancaran laman web BAKTI dan Buku Koleksi Resipi Bakti. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


ISTERI Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan laman Web Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) baru yang lebih terperinci, sistematik dan interaktif.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) berkata, laman Web BAKTI yang pertama dilancarkan pada 27 Mei 2009 sudah melalui tiga fasa perubahan dari segi imej, paparan atau isi kandungan bagi membolehkan laman sesawang ini lebih mesra pengguna, mudah dicapai serta memberi lebih kefahaman kepada pengguna sejajar dengan peredaran masa.

"Saya percaya laman Web BAKTI adalah satu platform yang penting untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan dan tugas BAKTI dalam membantu golongan sasaran.

"Selain itu, ia juga dapat membina imej BAKTI yang lebih positif serta mencerminkan reputasi kepada masyarakat umum, sekali gus memudahkan ahli atau masyarakat mendapatkan maklumat yang diperlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web BAKTI yang baru di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Rosmah berkata, tiga ciri baru diperkenalkan dalam laman Web ini termasuk disusun dengan terperinci dan sistematik supaya mudah difahami bagi menyampaikan maklumat yang tepat, betul dan cepat tanpa mengira masa.

Katanya, semua aktiviti BAKTI yang sudah dijalankan dapat dirujuk dan dijadikan sumber rujukanserta disimpan sebagai arkib memandangkan ia mudah diakses menggunakan tablet dan telefon pintar.

"Laman Web ini juga sudah dinaiktaraf supaya lebih interaktif dan menarik minat masyarakat untuk mengunjungi dan memahami peranan BAKTI.

"Di samping itu, kandungan dan reka letak laman sesawang dan aplikasinya juga dibuat dalam versi baru serta dikemaskini dari segi lampiran koleksi gambar, 'banner' dan rencana bagi setiap aktiviti yang dijalankan," katanya.

Turut dilancarkan pada majlis itu, koleksi resepi sempena 40 tahun BAKTI yang mengandungi 95 koleksi resepi nasi, juadah sampingan, dan lauk pauk serta pembuka selera, pencuci mulut, jus dan minuman.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut meluangkan masa menyaksikan penyerahan setem kenangan sempena 40 tahun BAKTI, dengan 1,000 set dikeluarkan dan setiap set mempunyai 10 keping setem.

Selain itu, Perdana Menteri sempat menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak yang dimasak isteri beliau, memandangkan sebelum itu Rosmah menjayakan rakaman bahan siaran 'Air Tangan Ikan Patin Tempoyak' yang akan disiarkan dalam Selamat Pagi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 6:25 PM
Kabinet Malaysia 2020