SEBANYAK 66 bahan cetakan termasuk perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran dirampas.
HM Digital

Kuala Terengganu: Seorang peniaga yang menjual bahan cetakan termasuk perhiasan mengandungi ayat al-Quran di sebuah kedai di bandar raya ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila menjual barangan sama walaupun sudah diberi amaran sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, kedegilan peniaga terbabit memakan diri apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 66 bahan cetakan termasuk perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran dengan rampasan bernilai RM19,950 kerana menyalahi undang-undang Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.

Selain kedai berkenaan, KDN turut merampas beberapa bahan cetakan bernilai RM50 daripada sebuah lagi premis di Marang kerana tidak mempunyai permit cetakan dalam operasi yang dijalankan serentak di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang bermula jam 9 pagi semalam.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Operasi dan Kawalan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Shamsinar Mohd Jaafar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati peniaga di Kuala Terengganu tidak mengendahkan arahan diberikan apabila masih menjual perhiasan kepada orang awam walaupun sudah tiga kali diberi arahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjual bahan cetakan yang tidak mempunyai permit, menjual bingkai yang mengandungi ayat al-Quran dengan tulisan bercampur, tiada pengasingan ayat, kesalahan penandaan ayat, ayat tidak jelas, cetakan ayat yang berulang dan penulisan tidak jelas sehingga tidak mencerminkan bacaan atau huruf kalimah ayat al-Quran.

“Selain itu, peniaga didapati tidak mengikuti arahan penyimpanan barang apabila meletakkan ayat suci al-Quran di lantai sedangkan bahan berkenaan sepatutnya disimpan pada rak atau tempat lebih tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 yang mana barangan yang dirampas akan disita dengan rampasan keseluruhan bernilai RM20,000,” katanya pada sidang media di Pejabat KDN, di sini, semalam.

Shamsinar berkata, siasatan mendapati semua barangan berkenaan diambil daripada pengedar di ibu negara dengan kebanyakan bingkai al-Quran yang dirampas dicetak di China dan Pakistan sebelum diedarkan.

Peniaga dan pembeli dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memeriksa terlebih dulu sebelum membeli ayat al-Quran untuk dijadikan perhiasan.

“Kita memandang serius kesalahan yang direkodkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi bacaan seterusnya boleh mengubah maksud ayat al-Quran itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:05 AM