RUMAH yang terbakar peratus di Kampung Lapasan Telipok, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


DUA puluh penghuni rumah terselamat selepas rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Lapasan, Telipok, Tuaran, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, enam kenderaan yang diletak di kawasan berhampiran berjaya diselamatkan penduduk kampung manakala rumah separuh kekal itu musnah 100 peratus.

Menurut seorang penghuni, Suriani Sainial, 35, yang bekerja sebagai peniaga di pasar Inanam, dia baru sahaja pulang dan mendapati rumahnya musnah sepenuhnya.

"Ketika tiba di hadapan rumah, saya melihat ramai penduduk kampung mengangkat Perodua MyVi dan Viva kerana difahamkan kunci kereta berada dalam rumah.

"Keluarga saya memberitahu api marak bermula dari tingkat atas selepas tiga kali berlaku gangguan bekalan elektrik dan mereka hanya menyedari kebakaran selepas serpihan papan jatuh dari tingkat atas sebelum beredar menyelamatkan diri masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hanya kenderaan berjaya diselamatkan selepas dibantu penduduk kampung dan anggota bomba manakala semua dokumen diri musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.49 malam.

"Sembilan anggota BBP Tuaran tiba bersama sebuah jentera dan dibantu 19 anggota dari BBP Kota Kinabalu.

"Operasi memadamkan kebakaran dilakukan dan api berjaya dikawal pada 9.33 malam," katanya.

Qawie berkata, hasil pemeriksaan tiada membabitkan kemalangan jiwa.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 11:49 AM