Nik Azlan menyampaikan sumbangan kepada Azizah. FOTO Ihsan MAIK
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


NASIB lima beranak selepas rumah mereka roboh di Kampung Rupek, Kota Bharu, semalam, mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang melawat mangsa hari ini.

Kunjungan diketuai Timbalan Yang Dipertua (YDP) MAIK, Dr Nik Azlan Abd Hadi.

Dalam kunjungan itu, Nik Azlan berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 untuk meringankan beban yang ditanggung Fatimah Ali, 75, dan keluarganya berikutan insiden itu.

"Kami akan berusaha membuat permohonan untuk membina rumah baru yang lebih selesa kepada keluarga ini.

"Selain itu, MAIK juga akan membantu memberi bantuan seperti biasiswa kepada anak Fatimah yang bersekolah," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, dalam kejadian 8.30 pagi semalam, rumah pusaka didiami Fatimah bersama anak perempuan dan tiga cucunya runtuh disebabkan terlalu daif.

Sementara itu, anak Fatimah, Azizah Jusoh, 45, berkata, dia bercadang mencari rumah sewa yang murah untuk didiami mereka sekeluarga.

"Dalam pada itu, penduduk kampung turut mencadangkan kepada saya supaya ruang dapur yang masih boleh digunakan dijadikan tempat perlindungan sementara.

"Bagaimanapun, sebelum keputusan diambil, saya perlu berbincang dengan ahli keluarga lain memandangkan pada ketika ini saya masih menumpang di rumah abang di Pasir Mas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 11:09 PM