MAYAT mangsa diusung untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2.
KEADAAN kereta mangsa selepas terjunam ke dalam laut di pantai Tanjung Lipat, semalam.
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: “Lampu kereta menyala dari dasar laut dan kira-kira 20 minit kemudian, tubuh mangsa terapung pada jarak 20 meter dari lokasi kenderaan itu terjunam,” kata Sikula Magupin, 39, yang menyaksikan kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta terjunam di laut di pantai Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, mangsa yang juga pemandu kereta Toyota Camry, Hang Chong Chen, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2).

Menurut Sikula yang juga kakitangan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Sabah, ketika kejadian, dia bersenam di Taman Awam Teluk Likas sebelum dikejutkan dengan insiden itu.

“Ketika berjoging, tiba-tiba sebuah kereta terjunam ke laut dan tanpa berlengah, saya berlari ke arahnya.

“Kereta itu mula tenggelam dan tidak lama kemudian mangsa terapung sebelum saya meminta bantuan orang ramai untuk mengangkat mangsa ke tebing,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sepasukan paramedik dari HQE 2 tiba disusuli bomba.

“Ketika itu, keadaan kedua-dua tangan mangsa kebiruan dan paramedik segera menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bukit Sepanggar.

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Likas sebelum Toyota Camry dipandunya terbabas sendiri lalu terjunam ke laut berhampiran Tanjung Lipat.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan hingga terbabas dan mayatnya dibawa ke hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:58 AM