KAUM wanita membuat persiapan penyediaan hidangan.
KHUTBAH yang disampaikan khatib, Khalil Musa selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Kausar Daulah Qatar, Kampung Kork.
MASYARAKAT Islam Kemboja bergotong-royong melapah lembu yang disembelih pada Program Jejak Asnaf @ Korban di Bumi Kemboja.
Muhammad Hatim Ab Manan


Kampong Cham (Kemboja): Aidiladha tahun ini dianggap paling meriah bagi penduduk Kampung Kork, di sini, kerana bukan saja menerima agihan daging korban sebaliknya turut dijamu dengan gulai kari daging yang disediakan sukarelawan dari Maahad Tahfiz Baitul Tariq, Klebang, Melaka.

Kenduri rakyat menerusi Program Jejak Asnaf @ Korban Bumi Kemboja itu membabitkan sukarelawan, penduduk kampung dan peserta korban yang bergotong-royong menyembelih lembu sebelum dimasak sebagai lauk.

Terdahulu penduduk, sukarelawan dan peserta korban menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar sebelum melaksanakan ibadah korban di kawasan lapang berhampiran diikuti memasak lauk dan menikmati hidangan.

Penduduk Rosli Amin, 27, berkata, kenduri rakyat dianjurkan sukarelawan dari Melaka itu satu perkara baru bagi masyarakat Islam di kampung itu, sekali gus memeriahkan sambutan Aidiladha tahun ini.

“Setiap tahun pasti ada pihak sumbangkan ternakan untuk dikorbankan. Kebiasaannya selepas solat sunat Aidiladha, kami melaksanakan ibadah korban, mengagihkan daging kepada asnaf dan pulang ke rumah masing-masing selepas semuanya selesai.

“Tapi tahun ini amat istimewa dan meriah, sukarelawan sediakan dua lembu khas untuk dimasak gulai kari yang belum pernah dijamah sebelum ini. Syukur dan terima kasih datang meraikan kami kerana hanya pada Aidiladha saja kami mewah makan daging,” katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan sekitar RM500 setiap bulan hasil upah kerja kampung, penduduk jarang membeli daging untuk dijadikan lauk sebaliknya memilih ikan sungai atau udang ditangkap atau sayur-sayuran saja sebagai menu harian.

Kegembiraan itu turut dikongsi Masitah Adam, 23, yang teruja dengan kemeriahan sepanjang program korban dan kenduri rakyat berlangsung.

“Sejak kecil sampai sekarang, ini majlis paling meriah pernah dianjurkan di kampung kami, bukan saja kanak-kanak malah orang dewasa juga berasa terharu dengan kehadiran sukarelawan dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu Yang di-Pertua Maahad Tahfiz Baitul Tariq Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, program dianjurkan bertujuan membantu asnaf yang benar-benar layak untuk dibantu, sekali gus menceriakan mereka.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan tinjauan awal untuk mengenal pasti asnaf yang benar-benar layak untuk menerima agihan daging korban selain sumbangan pakaian.

“Dalam program ini 29 lembu untuk ibadah korban manakala dua lagi dikhaskan untuk kenduri rakyat. Kami sengaja pilih kampung di pedalaman ini supaya peserta dapat lihat sendiri kedaifan umat Islam di sini.

“Selain itu secara tidak langsung, ia mengembalikan nostalgia dan kenangan umat Islam di Malaysia ketika 60-an melaksanakan ibadah korban. Suasana lokasi korban dijalankan juga sama seperti perkampungan orang Melayu pada ketika itu,” katanya.

Menurutnya, hampir 500 kilogram daging dikumpul hasil sembelihan korban yang kemudian diagihkan kepada asnaf layak di 10 kampung berhampiran menerusi wakil masing-masing.

Selain itu, sukarelawan turut mengagihkan duit raya, gula-gula dan makanan ringan kepada kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:30 AM